Malaysia mampu memperoleh pertambahan nilai rezab jika Bank Negara Malaysia (BNM) menukar Rezab Antarabangsa kepada Dinar Emas berbanding mata wang asing.
"Malaysia mampu memperoleh sehingga RM162.6 bilion tahun ini jika menyimpan dalam bentuk Dinar Emas ekoran peningkatan harga emas global, berdasarkan nilai semasa, 1 dinar emas bernilai RM518 dengan nilai terendah 1 Dirham (RM5)," kata anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Dinar Emas 2009, di Universiti Malaya (UM) hari ini.
"Harga dinar emas tahun ini meningkat kepada 11.07 peratus kepada RM512.20 berbanding RM461.15 (satu dinar) tahun lepas," katanya.
Husam berkata ekonomi dunia kini terlalu bergantung kepada sistem mata wang semasa dan laporan menunjukkan Rezab Antarabangsa BNM yang disimpan dalam bentuk emas hanya 0.4 peratus berbanding dalam bentuk mata wang asing (dollar Amerika Syarikat - USD) tahun lepas.
"Oleh itu, penggunaan dinar emas boleh dijadikan sebagai penyelesaian alternatif kepada krisis ekonomi berikutan sifatnya yang lebih stabil berbanding penggunaan mata wang untuk perdagangan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon ketika merasmikan seminar ini berkata penggunaan dinar emas perlu didedahkan di peringkat awal kepada penuntut universiti supaya masyarakat tahu bahawa ia boleh dijadikan alternatif kepada mata wang dan alat pertukaran semasa dalam kegiatan ekonomi.
"Bagaimanapun, banyak perkara yang perlu dilakukan agar masyarakat seluruh dunia faham tentang penggunaannya yang boleh dijadikan sebagai alternatif yang mampu mengembalikan semula kestabilan ekonomi akibat krisis kewangan global," katanya.
Kerajaan Kelantan memperkenalkan syiling emas yang dinamakan sebagai Emas Dinar Kelantan (EDK) pada September 2006.
Pelbagai dominasi dikeluarkan, termasuk 1 dinar (4.25gram), setengah dinar dan suku dinar.
Sumber : BERNAMA
Fokus menyimpan dulu bro
Setahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan