Sponser

Memaparkan catatan dengan label Info Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info Kewangan. Papar semua catatan

Pengurusan Hutang 2



Tanda-Tanda Amaran Masalah Pembayaran Balik Hutang

Jawab soalan-soalan di bawah untuk mengetahui sama ada anda menghadapi masalah bebanan hutang:

  • Adakah perbelanjaan anda melebihi pendapatan?

  • Adakah had kad kredit anda digunakan sepenuhnya?

  • Adakah anda sering meminjam wang untuk perbelanjaan seharian?

  • Adakah anda hanya menjelaskan bayaran minimum untuk hutang anda?

Jika jawapan anda kepada semua atau kebanyakan soalan di atas adalah "Ya", anda mungkin berhadapan dengan masalah untuk menyelesaikan pinjaman dan menguruskan wang anda. Anda boleh menggunakan kaedah yang kami senaraikan untuk mengatasi masalah pembayaran hutang anda:

  • Hubungi institusi perbankan anda untuk membincangkan masalah tersebut

  • Buat satu belanjawan untuk memantau perbelanjaan anda

  • Kurangkan perbelanjaan

  • Gunakan simpanan atau wang tambahan untuk menjelaskan hutang anda

  • Jangan mengambil kemudahan pembiayaan baru

  • Cuba menambah pendapatan anda

  • Jual aset anda
Sumber : http://www.bankinginfo.com.my

Pengurusan Hutang



Dah lama tak tulis mengenai kewangan. Emas pun pg ini menunjukkan sedikit penurunan semasa fik tulis artikal ni. Harga emas ditutup dengan 938 usd pada jumaat yang lepas.

Sebagai mana yang kita mungkin perlu meminjam daripada institusi perbankan untuk pembelian aset seperti rumah atau kenderaan. Walaupun amalan berhutang tidak semestinya sesuatu yang buruk, kebiasaannya kita dinasihatkan agar mengurus wang dan hutang kita secara bijak bagi mengelak daripada mengalami masalah kewangan pada masa hadapan.

Hutang ni kita boleh pecahkan kepada 3 jenis iaitu
  1. Hutang Baik = Hutang yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita
  2. Hutang Jahat = Hutang yang tidak mendatangkn manfaat dan membebankan kita
  3. Hutang Munafik = Hutang baik yang bertukar menjadi hutang jahat
Jadi sebelum membuat sesuatu pinjaman dengan bank pastikan pinjaman yang kita lakukan itu nanti merupakan hutang baik yang tidak membebankan kita pada pada masa hadapan. Yang paling penting cuba elakkan hutang kita tu menjadi hutang munafik.

Di mana tahap hutang kita?
Di bawah ni Fik bagi contoh pengiraan peratusan hutang kita. Fik dapat contoh ni dari website www.bankinginfo.com.my

Kesilapan Kewangan Umum - Berapa yang anda lakukan?

Kesilapan 1 : Sentiasa menangguh untuk memulakan system perancangan.

Tidak syak lagi inilah kesilapan yang paling besar sekali. Tanyalah diri anda sendiri sudah berapa kali perkataan seperti “Tak apa”, “Nanti dulu”, “Lepas kahwin”, “Bila anak dah besar” sering dijadikan alasan untuk tidak memulakan pelan kewangan seperti tabungan untuk pendidikan anak, insurance perubatan atau membuat temu-janji dengan perancang kewangan bagi membaikpulih pinjaman anda.

Kesilapan 2 : Gagal menetapkan matlamat kewangan dan cara mencapainya.

Kita sendiri sedar yang tiada orang yang merancang untuk gagal tetapi kebanyakannya gagal untuk merancang. Mungkin sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab anda tidak mempunyai masa untuk menulis di atas kertas jawapan kepada soalan-soalan seperti :
1. Apakah 3 matlamat kewangan anda?
2. Bila jangka masa pencapaiannya?
3. Berapa yang perlu diperuntukkan setiap bulan?

Kesilapan 3 : Kekurangan disiplin untuk menabung secara sistematik.

Media massa sekarang ini dipenuhi dengan iklan dan propaganda bertujuan mengalakkan kita berbelanja lebih dari yang sepatutnya. Tetapi patutkah media massa dipersalahkan? Apakah ada system atau rahsia yang boleh menyelamatkan wang kita daripada lanun-lanun seperti kad kredit, jualan murah, desakan rakan sebaya dan gaya hidup serba glamour?


Kesilapan 4 : Kejahilan tentang konsep nilai masa (time value) wang.


Semua orang tahu pasal hutang kad kredit, hutang along dan hutang punjaman perumahan yang seolah-olah tak pernah habis dibayar dan kalau dapat dibayar pun akan mengambil masa yang lama. Berdasarkan prinsip yang sama (iaitu konsep nilai mata wang) simpanan RM100 sebulan selama 20 tahun pada kadar faedah 10 peratus setahun (kadar kad kredit ialah 18 peratus) akan menghasilkan harta RM72000. Tetapi malangnya masih ramai yang lebih suka “menyimpan” dengan syarikat kad kredit dan sentiasa merungut tidak cukup wang.


Kesilapan 5 : Perlindungan Insurance yang tidak mencukupi.

Apabila memulakan satu system simpanan untuk tujuan tertentu contohnya deposit pembelian rumah, tabung pendidikan anak, ada risiko yang boleh menyebabkan wang simpanan tersebut tiba-tiba hangus. Contohnya sepeti belanja perubatan, hilang upaya bekerja , kemalangan. Bolehkah kita berserah kepada takdir semata-mata untuk memastikan matlamat kewangan kita tercapai?

Kesilapan 6 : Kegagalan menangani “musuh” wang yang utama iaitu inflasi

Bayangkan harga sebuku roti 10 tahun dari sekarang, atau segelas teh tarik. Kajian KWSP telah pun menunjukan bahawa duit simpanan yang diambil oleh pencarum sewaktu usia 55 tahun habis dalam jangka masa 3 tahun sahaja. Anda bagaimana, apa senjata yang ada untuk melawan inflasi, kanser kewangan nombor satu?

Kesilapan 7 : Keengganan menggunakan perkhidmatan penasihat kewangan bertauliah.

Kesilapan ini telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu memperkenalkan skim cepat kaya, pembelian insurans dan unit trust yang tidak sesuai dan penggunaan wang KWSP yang tidak berpadanan dengan profil penyimpan. Semua orang tahu bila sakit harus jumpa doktor bukan peguam. Begitu juga kalau ada kes undang-undang jumpa peguam bukan doktor. Tidakkah logik untuk meminta khidmat nasihat seorang penasihat kewangan bagi mengatasi dilemma kewangan anda?

Penggunaan Dinar Emas Jadikan Institusi Kewangan Berdaya Tahan

WANG dan sistem kewangan banyak berkaitan dengan penghasilan kekayaan. Malah, ramai beranggapan wang itu sendiri adalah kekayaan. Dalam hal ini, institusi kewangan memainkan peranan penting.

Institusi kewangan berperanan memobilisi simpanan sedia ada serta menyalurkan kepada pelabur supaya dapat digandakan untuk kekayaan dan penghasilan modal. Peranan dimainkan institusi kewangan ini tidak boleh dipandang remeh.

Setiap kali bercerita mengenai institusi kewangan, pasti yang terlintas di fikiran kita ialah bank. Hakikatnya bukan bank saja institusi kewangan dalam Islam kerana ada institusi kewangan lain seperti pertubuhan zakat, wakaf dan baitulmal. Institusi ini perlu diperkembangkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang gawat ketika ini.
Membicarakan peranan institusi kewangan dalam pembentukan pemilikan kekayaan masyarakat, kita tidak boleh mengetepikan kejatuhan mata wang yang melanda dunia kini. Setiap cadangan perlu mengambil kira dinamik dan kesan daripada krisis kewangan global.

Amat jelas kini sektor bank yang bertanggungjawab dalam kejatuhan sistem kewangan melanda dunia. Ia kegagalan sistem bank pusat dan kejatuhan sistem kapitalis.

Perbankan sewajarnya dipertanggungjawabkan memandangkan bank banyak 'mencipta wang' begitu saja tanpa disandarkan kepada apa-apa, pada kadar yang jauh lebih tinggi ditambah penambahan kadar daripada kemampuan sebenar perkembangan ekonomi negara. Penciptaan wang ini dihasilkan melalui simpanan bank, di mana bank-bank Islam juga terbabit.
Bank Islam pada masa ini kelihatan stabil dan mampu mengatasi krisis memandangkan mereka tidak melabur dalam instrumen hutang yang mengakibatkan kejatuhan mata wang. Tetapi, semua bank saling berkaitan antara satu sama lain melalui rangkaian transaksi perakaunan.

Oleh itu, kejatuhan bank konvensional yang disebabkan oleh kerapuhan kredit akan turut menjejaskan perbankan Islam.

Perbankan dan kewangan Islam hari ini masih mempunyai banyak kekurangan contohnya, ia tidak berasaskan kepada ekonomi sebenar, sama seperti sistem konvensional.

Walaupun semua instrumen terus berkait dengan aset sebenar, malangnya, wang ini tidak disandarkan dengan aset.
Hari ini, sebagai rakan kongsi bank konvensional, bank Islam turut beroperasi dalam ruang lingkup sistem perbankan rizab sebahagian yang menggunakan wang fiat yang tidak disandarkan dengan komoditi sebenar seperti emas atau perak.

Ini berbeza dengan setiap transaksi berdasarkan prinsip syariah seperti perkahwinan, zakat dan sebagainya bersandarkan emas serta perak sebagai tukaran mata wang dan tidak boleh ditukar.

Hal ini mengakibatkan bank mengamalkan sistem perbankan Islam kurang berdaya tahan dalam menangani kemelesetan kewangan global.

Oleh demikian, jika perbankan dan kewangan Islam ingin memainkan peranan bermakna ke arah peningkatan ummah, maka inilah masanya ia harus kembali kepada bentuk asal iaitu wang disandarkan kepada sektor komoditi utama.

Kini adalah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dinar emas sebagai mata wang. Penggunaan dinar emas mengelakkan penghasilan wang yang akan mewujudkan gelembung. Tanpa usaha dan langkah itu, adalah mustahil memerangi masalah kemelesetan ekonomi global yang mendatang.

Dinar Emas Mampu Jana Pertambahan Nilai Rezab Negara

Malaysia mampu memperoleh pertambahan nilai rezab jika Bank Negara Malaysia (BNM) menukar Rezab Antarabangsa kepada Dinar Emas berbanding mata wang asing.

"Malaysia mampu memperoleh sehingga RM162.6 bilion tahun ini jika menyimpan dalam bentuk Dinar Emas ekoran peningkatan harga emas global, berdasarkan nilai semasa, 1 dinar emas bernilai RM518 dengan nilai terendah 1 Dirham (RM5)," kata anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Dinar Emas 2009, di Universiti Malaya (UM) hari ini.

"Harga dinar emas tahun ini meningkat kepada 11.07 peratus kepada RM512.20 berbanding RM461.15 (satu dinar) tahun lepas," katanya.

Husam berkata ekonomi dunia kini terlalu bergantung kepada sistem mata wang semasa dan laporan menunjukkan Rezab Antarabangsa BNM yang disimpan dalam bentuk emas hanya 0.4 peratus berbanding dalam bentuk mata wang asing (dollar Amerika Syarikat - USD) tahun lepas.

"Oleh itu, penggunaan dinar emas boleh dijadikan sebagai penyelesaian alternatif kepada krisis ekonomi berikutan sifatnya yang lebih stabil berbanding penggunaan mata wang untuk perdagangan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon ketika merasmikan seminar ini berkata penggunaan dinar emas perlu didedahkan di peringkat awal kepada penuntut universiti supaya masyarakat tahu bahawa ia boleh dijadikan alternatif kepada mata wang dan alat pertukaran semasa dalam kegiatan ekonomi.

"Bagaimanapun, banyak perkara yang perlu dilakukan agar masyarakat seluruh dunia faham tentang penggunaannya yang boleh dijadikan sebagai alternatif yang mampu mengembalikan semula kestabilan ekonomi akibat krisis kewangan global," katanya.

Kerajaan Kelantan memperkenalkan syiling emas yang dinamakan sebagai Emas Dinar Kelantan (EDK) pada September 2006.

Pelbagai dominasi dikeluarkan, termasuk 1 dinar (4.25gram), setengah dinar dan suku dinar.

Sumber : BERNAMA

Kisah Rasulullah Membangun Sistem Ekonomi Islam

Sebelum Rasulullah hijrah ke Madinah, pasar dan sistem perdagangan di kota itu dikuasai dan dimonopoli sepenuhnya oleh orang–orang Yahudi. Maju dan mundurnya masyarakat Madinah pada masa itu secara tidak langsung diatur oleh kapitalis Yahudi. Di dalam masyarakat terjadinya penindasan, penzaliman dan riba dimana–mana. Setelah Rasulullah hijrah ke Madinah, sebagai pemimpin, Baginda tidak berdiam diri melihat kekacauan masyarakat Madinah yang bersumber pada eksploitasi oleh sistem ekonomi kapitalis. Langkah yang diambil Baginda adalah mengerahkan Sayidina Abdurrahman bin Auf, seorang hartawan, untuk membangun sistem ekonomi bertaraf ALLAH dan Rasul.

Sayidina Abdurrahman bin Auf memulakan dengan membangun pasar yang dikelola seratus peratus oleh umat Islam sendiri berlokasi tidak jauh dari pasar Yahudi, yang kemudian diberi nama “Suqul Anshar“ atau pasar Anshar. Semua orang Islam dihimbau untuk berjual beli dan melakukan semua aktiviti perdagangan di pasar itu tanpa bekerjasama sedikit pun dengan Yahudi dan tanpa terlibat dengan produk atau barang mereka. Dengan semangat perpaduan serta ketaatan pada ALLAH dan Rasul-Nya umat Islam saat itu menumpukan perhatian semata-mata di Suqul Anshar. Bahkan bukan itu saja, karana dalam sistem ekonomi Islam tidak ada penindasan atau riba serta amat memberi kemudahan dan di dalamnya juga terdapat semangat perpaduan dan rasa ber-Tuhan yang tajam, maka banyak orang bukan Islam dan orang luar kota pun tertarik untuk berdagang ke Suqul Anshar.

Hasil dari perjuangan itu maka dalam waktu singkat ekonomi Madinah beralih ke tangan umat Islam, sehingga ekonomi Yahudi yang sudah ratusan tahun, gulung tikar dan bangkrut bahkan mereka menjadi miskin dan akhirnya menutup pasar mereka. Oleh sebab itu jugalah sampai saat ini mereka sangat membenci dan dendam pada umat Islam dan sangat menginginkan secara ekonomi, umat Islam berada dalam kekuasaan mereka tanpa umat Islam menyedarinya.

Perpaduan umat Islam pada masa itu dalam ketaatan kepada ALLAH dan Rasul-Nya, berhasil membangun ekonomi Islam dan sekaligus merobohkan musuh tanpa berperang. Seharusnya kita sebagai umat Ijavascript:void(0)slam menganbil teladan dan mengikuti sunnah Nabi kita sebagai satu strategi untuk membangun sistem ekonomi Islam.

Peranan Institusi Kewangan Islam Dalam Meningkatkan Pemilikan Kekayaan Ummah : Satu Gagasan Dan Cabaran Perlaksanaan

Pengenalan

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa wang dan sistem kewangan banyak berkaitan dengan penghasilan kekayaan. Malahan, ramai beranggapan wang itu sendiri adalah kekayaan. Dalam hal ini, insitusi kewangan memainkan peranan yang amat penting. Mereka berperanan memobilisi simpanan yang sedia ada dan menyalurkan kepada para pelabur agar dapat digandakan untuk kekayaan dan penghasilan modal.

Peranan yang dimainkan oleh institusi-institusi kewangan ini tidak boleh dipandang remeh. Malahan, kita dapat menikmati pelbagai barangan dan perkhidmatan yang tidak dapat diperolehi dengan menghasilkannya sendiri. Institusi Kewangan Islam Setiap kali bercerita tentang institusi kewangan, pasti yang terlintas di fikiran kita ialah bank. Akan tetapi, bukan bank sahaja yang merupakan institusi kewangan di dalam Islam. Terdapat beberapa institusi kewangan yang lain seperti agensi dan pertubuhan Zakat, Waqf dan Baitul Mal. Malahan, institusi-institusi inilah yang amat perlu diperkembangkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang gawat pada waktu ini.

Dalam membicarakan peranan institusi kewangan dalam pembentukan pemilikan kekayaan masyarakat, kita tidak boleh mengenepikan kejatuhan matawang yang melanda dunia kini. Setiap cadangan perlu mengambilkira dinamik dan kesan daripada krisis kewangan global.

Peranan Sektor Bank Dalam Krisis Kewangan Global


Amatlah jelas kini bahawa sektor bank yang bertanggungjawab dalam kejatuhan system kewangan yang melanda dunia. Ianya merupakan kegagalan sistem bank pusat dan kejatuhan sistem kapitalis. Memetik kata-kata Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang berbunyi “Laissezfaire telah mati”. Perbankan sewajarnya dipertanggungjawabkan di atas krisis ini memandangkan bank banyak “mencipta wang” begitu sahaja tanpa disandarkan kepada apa-apa, pada kadar yang jauh lebih tinggi ditambah penambahan kadar daripada kemampuan sebenar perkembangan ekonomi negara. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya “bubbles”. Penciptaan wang ini dihasilkan melalui simpanan bank, di mana bank-bank Islam juga terlibat.

Bank-bank Islam pada masa ini kelihatan stabil dan mampu mengatasi krisis memandangkan mereka tidak melabur dalam instrument hutang seperti “mortgage-based collateralized debt obligations” ataupun “credit default swaps” yang mengakibatkan kejatuhan matawang.

Akan tetapi, semua bank saling berkaitan antara satu sama lain melalui rangkaian transaksi perakaunan. Oleh itu, kejatuhan bank-bank konvensional yang disebabkan oleh kera puhan kredit “credit crunch” akan turut menjejaskan perbankan Islam.

Kewangan Islam adalah berasaskan aset dan tidak berasaskan hutang. Faktor ini ditambah jaringan terus kepada aset tetap yang menyebabkan kestabilan serta melindungi daripada masalah hutang piutang.

Walau bagaimanapun, perbankan dan kewangan Islam hari ini masih mempunyai banyak kekurangan contohnya, wang ia tidak berasaskan kepada ekonomi sebenar, sama seperti system konvensional. Walaupun kesemua instrumen terus berkait dengan aset sebenar, malangnya, wang ini tidak disandarkan dengan aset. Kewangan Islam pada masa ini, terlepas pandang beberapa perkara penting dalam aspek kewangan contohnya wang itu sendiri. Hari ini, sebagai rakan kongsi bank konvensional, bank Islam turut beroperasi dalam ruang lingkup system “fractional reserve banking” yang menggunakan “fiat money” yang tidak disandarkan dengan komoditi sebenar seperti emas atau perak.

Ini berbeza dengan setiap transaksi yang berdasarkan prinsip-prinsip Shari’ah seperti perkahwinan, capital punishments, zakat dan sebagainya yang bersandarkan emas dan perak sebagai tukaran matawang, dan tidak boleh ditukar. Kebijaksanaan di sebalik hal ini kurang difahami oleh para akademik dan ahli-ahli Shari’ah, kerana ia berkait dengan pemahaman tentang implikasi ekonomi terhadap definisi wang yang berbeza.

Dalam pada itu, teori kewangan menjangkakan bahawa perkaitanan antara institusi kewangan Islam dan konvensional melalui “fiat monetary sistem” akan mengakibatkan penggabungan di antara keduanya.

Pada masa ini perbankan Islam telah bergabung dengan perbankan konvensional. Memandangkan institusi perbankan kewangan Islam dan konvensional mempunyai urusan diantara keduanya, oleh itu mereka saling berkaitan melalui rekod-rekod perakaunan. Hal ini telah mengakibatkan bank-bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam kurang berdaya tahan dalam menangani kemelesetan kewangan global kelemahan dalam definisi wang.

Oleh yang demikian, jika perbankan dan kewangan Islam ingin memainkan peranan bermakna ke arah peningkatan Ummah, maka inilah masanya ia seharusnya kembali kepada bentuk asal iaitu wang disandarkan kepada sektor utama melalui komoditi utama. Kini merupakan masa yang sesuai untuk memperkenalkan dinar emas sebagai matawang. Penggunaan dinar emas mengelakkan penghasilan wang (creation of money) yang akan mewujudkan “bubbles”. Tanpa usaha dan langkah tersebut, adalah mustahil memerangi masalah kemelesetan ekonomi global yang mendatang.

Pada tahun-tahun akan datang, kemelesetan ekonomi akan mengakibatkan kegagalan orang awam melangsaikan hutang pinjaman dan pembiayaan. Jikalau bank-bank Islam mengambil sikap sama seperti bank konvensional dengan menutup akaun dan mengisytiharkan muflis terhadap para pelanggan, maka tindakan ini pastinya tidak berupaya meningkatkan apatah lagi melindungi pemilikan kekayaan ummah. Malahan, ummah akan kehilangan kekayaan.

Setakat ini tiada bukti jelas menunjukkan bank-bank Islam telah berjaya meningkatkan ekonomi ummah. Di Pakistan dan Sudan di mana keseluruhan bank mengamalkan perbankan Islam pun, mengalami kegagalan dalam sistem yang sedia ada. Terdapat kajian membuktikan bahawa kadar kemiskinan di Sudan meningkat walaupun perbankan Islam dilaksanakan keseluruhannya. Bank-bank Islam tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada “fractional reserve banking” jikalau ia benar-benar ingin menyumbang ke arah kebaikan ummah.

Fokus bank-bank Islam tidak seharusnya hanya kepada kaedah pembiayaan pinjaman seperti Murabaha, BBA and Ijarah. Ia harus mengambilkira aktiviti berbentuk ‘pengurusan dana’ serta mengambil risiko menggunakan lebih banyak kaedah Musharakah. Bagi pembiayaan rumah, koperasi perumahan Islam adalah sesuai dilaksanakan. Kaedah ini menggunakan konsep sewa berbanding faedah dan ia memberi manfaat kepada pembeli. Pembeli boleh memperolehi rumah dengan cepat berbanding BBA yang banyak merugikan pembeli.

Institusi kewangan Islam yang lain seperti zakat, waqf dan baitul mal turut berperanan penting dalam meningkatkan ekonomi ummah. Institusi zakat misalnya, dapat diperbaiki dengan beberapa kaedah, seperti menggalakkan orang ramai membayar zakat, ketelusan dalam pengagihan wang zakat dan mempelbagaikan cara pengagihan wang zakat contohnya melalui tajaan pendidikan rakyat miskin di sekolah-sekolah vokasional, pertanian, import eksport dan sebagainya.

Institusi waqf seperti telah diabaikan. Dalam sejarah dunia Islam, institusi waqf telah memainkan peranan utama dalam pembiayaan, pembangunan dan pengurusan ekonomi empayar Islam. Banyak kemudahan awam telah dibiayai dengan waqf. Oleh yang demikian, waqf seharusnya dikaji semula bagi membiayai misalannya sistem persekolahan, universiti, hospital dan sebagainya. Wangnya juga boleh dimanfaatkan bagi membiayai pendidikan golongan miskin, membiayai kajian dan sebagainya.

Baitul mal berperanan besar dalam mengurus sistem kewangan Islam. Dalam ekonomi dinar ia boleh memainkan peranan sebagai “minter” dan “gold custodian”. Dinar emas akan menjaga serta mempertahankan kekayaan ummah. Apabila kita menerima dolar sebagai matawang antarabangsa, mereka boleh menciptanya begitu sahaja lalu membeli barang daripada seluruh dunia. Itulah yang dilakukan dengan wang bailout sebanyak USD700 bilion dan beberapa trillion yang dicipta oleh Federal Reserve bagi menangani krisis kewangan. Kebanyakan wang tersebut digunakan untuk membeli barangan dari luar Amerika Syarikat. Amerika Syarikat mampu melakukan apa sahaja mengikut kehendak mereka memandangkan masyarakat dunia telah mengiktiraf dolar sebagai matawang antarabangsa. Kini wang tersebut digunakan untuk menaja lebih banyak peperangan, contohnya di Palestin dan akan datang dengan Iran.

Bank-bank Islam, yang merupakan sebahagian daripada “fractional reserve banking system”, turut terlibat dalam keseluruhan permainan ini.

Untuk itu, dalam usaha meningkatkan ekonomi ummah, pendekatan holistik amat diperlukan.Bukan hanya peranan bank-bank Islam yang perlu diteliti, malahan institusi-institusi kewangan yang lain, turut harus dikaji.

Memandangkan kejatuhan kewangan sedang merebak ke seluruh dunia, pastilah ia akan turut memberi kesan kepada perbankan Islam dan institusi kewangan yang lain. Kerapuhan kredit (credit crunch) yang diakibatkan oleh krisi ini adalah menyamai krisis kewangan yang melanda pada tahun 1997. Ia akan mengakibatkan ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat, kelembapan perniagaan dan sebagainya. Harga dan nilai aset akan turut jatuh. Fenomena ini berlaku disebabkan sistem kewangan yang ada membenarkan bank-bank “mencipta wang” semudahnya lalu memberi pinjaman dengan mengenakan kadar faedah atau menggunakannya untuk membeli pelbagai aset untuk dijual balik, disewakan dan sebagainya seperti dalam kewangan Islam. Untuk itu, kerajaan sepatutnya menghalang ‘foreclosures’ dalam keadaan ini kerana ia akan menyukarkan rakyat akhirnya.

Pada saat ini, kita seharusnya mengakui gagasan murni oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mencadangkan penggunaan dinar emas, khususnya bagi urusan perniagaan antarabangsa. Malaysia seharusnya menjual hasil minyak dan petroleum serta lain-lain barangan eksportnya dengan tukaran nilaian emas.

Dalam situasi politik-ekonomi global kini, apa yang seharusnya dilakukan oleh institusi-institusi kewangan Islam dalam meningkatkan dan mempertahankan ekonomi ummah ialah mengkaji emas dan perak (dan lain-lain komoditi berkaitan) sebagai ukuran nilai dalam semua transaksi kewangan. Emas dan perak dijadikan ukuran nilai matawang dalam prinsip-prinsip Shari’ah bukanlah sesuatu yang sia-sia, pasti terkandung hikmahnya.

DR. AHAMED KAMEEL MYDIN MEERA
Penasihat (Ekonomi)
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Mengurus Wang Anda 2

ALAT PERANCANGAN KEWANGAN

Setelah mengetahui manfaat daripada perancangan kewangan, anda barangkali memerlukan satu lagi perkara untuk memulakannya. Bank Negara Malaysia telah menghasilkan buku-buku berikut untuk panduan anda dan keluarga anda:

  • Buku Wang Saku Buku Wang Saku ialah alat yang digunakan oleh pelajar sekolah untuk mempelajari dan mengamalkan pengurusan hal kewangan peribadi dengan merekod wang masuk, perbelanjaan dan simpanan. Buku Wang Saku diedarkan di bawah Program Sekolah Angkat oleh institusi-institusi perbankan. Harga senaskhah buku ini ialah RM1.

  • Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga ini dirangka untuk membantu golongan dewasa dan ahli keluarga mereka. Buku ini dihasilkan untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan peribadi di peringkat isi rumah. Satu seksyen mengenai konsep perancangan dan belanjawan, yang merupakan satu ciri penting dalam pengurusan akaun isi rumah, turut dimasukkan.

Mengurus Wang Anda

SELANGKAH DEMI SELANGKAH KE ARAH AMALAN PERANCANGAN KEWANGAN YANG BAIK

Perancangan kewangan adalah penting, walau banyak mana sekalipun pendapatan kita. Rahsianya ialah mengetahui di mana anda sekarang, hendak ke manakah anda pada masa hadapan dan bagaimana untuk sampai ke sana. Anda boleh menambah nilai wang anda jika anda dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskannya secara berhati-hati, seperti:
• Mengetahui apa hendak dibuat dengan wang anda
• Mengetahui ke mana perginya wang anda
• Mengenal pasti tabiat anda berbelanja
• Membentuk satu rancangan perbelanjaan yang cermat
• Berbelanja secara berhemat dan mengikut kemampuan anda
• Menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk masa depan anda

Pandangan semua ahli keluarga khususnya anak-anak, hendaklah diambil kira semasa membuat keputusan berhubung dengan perancangan kewangan anda. Ini akan menjadikan anda lebih akur dengan rancangan perbelanjaan anda dan juga membantuanak-anak membentuk kemahiran dalam hal perancangan kewangan pada peringkat umur yang masih muda lagi. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil dalam merancang kewangan anda:

Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda

Menentukan matlamat kewangan dapat membantu orang ramai baik yang muda mahupun yang dewasa untuk mempelajari nilai wang. Matlamat kewangan mencerminkan apa yang anda hendak lakukan dengan wang anda dalam satu jangka masa tertentu. Penentuan matlamat akan mendorong anda berbelanja dan menyimpan wang mengikut kaedah yang akan membolehkan matlamat anda tercapai.

Setiap keluarga menentukan matlamat dan merancang hal kewangan mereka berasaskan kepada penilaian masing-masing. Walau apa pun jua penilaian mereka sekeluarga, rancangan kewangan mereka adalah merupakan suatu ekspresi tentang apa yang paling penting bagi mereka. Umumnya matlamat-matlamat ini meliputi:
• Membeli rumah
• Membeli kereta
• Berkahwin
• Pelajaran anak-anak
• Percutian
• Persaraan
• Menunaikan haji

Perbelanjaan perubatan Penentuan beberapa siri matlamat peribadi akan membantu anda untuk mengurus wang anda dengan berhemat. Matlamat anda boleh berubah dari semasa ke semasa, namun ia mampu memberi dorongan dan insentif kepada anda agar terus membuat perancangan kewangan. Anda harus merancang untuk:

• Matlamat Jangka Pendek Perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang terdekat. Mungkin dalam tempoh seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak melebihi setahun seperti membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk percutian.

• Matlamat Jangka Sederhana Perkara yang boleh dibuat dalam tempoh satu hingga lima tahun seperti membeli sebuah kereta atau sebuah komputer.

• Matlamat Jangka Panjang

Perkara-perkara yang diharapkan boleh dicapai tetapi mengambil masa yang lebih lama lagi misalnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk pendidikan anak-anak di peringkat yang lebih tinggi.

Peruntukan wang simpanan ke arah matlamat-matlamat ini bergantung kepada beberapa faktor yang seterusnya akan menentukan pilihan pelaburan anda.

Oleh itu, adalah penting matlamat-matlamat ini disenaraikan mengikut keutamaan. Amaun yang diketepikan untuk memenuhi matlamat ini berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain dan faktor-faktor yang diambil kira adalah termasuk faktor usia, tahap pendapatan, perbelanjaan, jumlah tanggungan, status pekerjaan dan taraf perkahwinan.

Langkah 2 - Menjejaki Ke Mana Perginya Wang Anda

Setelah anda menentukan matlamat anda, anda mungkin berasa mustahil untuk mencapainya, lebih-lebih lagi jika anda mendapati tiada lagi yang tinggal apabila tiba cukup bulan. Sekiranya anda membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik, matlamat anda akan menjadi mudah tercapai berbanding apa yang anda jangkakan. Walau bagaimanapun, sebelum anda membentuk rancangan perbelanjaan, anda perlu menjejaki dahulu ke manakah perginya wang anda. Ini boleh dilakukan dengan merekod setiap perbelanjaan yang dibuat bagi sesuatu tempoh contohnya lapan minggu. Ini bukan bertujuan menyekat perbelanjaan anda tetapi mengenal pasti hala tuju perbelanjaan anda.

Dengan ini, anda akan mengetahui:
• Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda
• Berapa banyakkah anda berhutang setiap bulan
• Berapa banyakkah yang masih tinggal pada akhir bulan

Langkah 3 - Menilai Cara Anda Berbelanja

Jika anda mendapati bahawa anda tidak mempunyai apa-apa baki pada akhir bulan, barangkali anda perlu menilai cara anda berbelanja. Anda perlu meneliti senarai perbelanjaan anda untuk memastikan sama ada kesemuanya adalah benar-benar perlu atau merupakan perbelanjaan yang anda boleh kurangkan atau tiadakan. Berikut adalah tip-tip bagaimana anda boleh menjadikan perbelanjaan anda lebih menjimatkan:

• Semak senarai barangan isi rumah yang anda beli untuk meneliti sama ada jenamanya boleh ditukar ke jenama yang lebih murah (seperti kertas tisu tandas, serbuk pencuci, cairan pembersih dan sebagainya)

• Semak senarai keperluan barang-barang dapur anda untuk mengenal pasti barangan yang "elok ada" tetapi sebenarnya tidak diperlukan

Anda juga sepatutnya mengenal pasti isyarat amaran mengenai tabiat anda berbelanja yang tidak sihat yang boleh membawa kepada masalah kewangan:
• Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa
• Melengahkan pembayaran bil-bil yang selalunya dibayar sebelum tarikh tamat
• Membuat pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman lama
• Menangguhkan pembayaran balik pinjaman anda
• Memilih untuk membayar secara ansuran apabila membeli barangan harian untuk isi rumah
• Pembayaran melebihi pendapatan pada akhir bulan
• Membeli mengikut gerak hati walaupun anda tahu bahawa anda tidak mampu membelinya Bagi membantu menyemai sifat-sifat berdisiplin di dalam cara anda berbelanja, anda perlu merangka rancangan perbelanjaan anda dan akur kepadanya.

Langkah 4 - Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda

Dengan mencatatkan aliran wang masuk dan wang keluar, anda dapat menghalakan tumpuan ke bahagian di mana perbelanjaan sudah menjadi tidak terkawal dan juga bagi memberi ruang kepada anda untuk menyimpan pula. Sekiranya pendapatan anda melebihi perbelanjaan, anda akan dapat mengetepikan wang untuk rancangan simpanan demi mencapai matlamat kewangan anda.

Di bawah ini adalah panduan bagaimana untuk merangka satu rancangan perbelanjaan bertulis:
1. Tentukan berapakah pendapatan bulanan anda.
2. Campurkan semua jumlah perbelanjaan termasuk bil bulanan tetap, bayaran balik pinjaman, sewaan, perbelanjaan keperluan harian dan sebagainya.
3. Ketepikan sejumlah wang yang tetap yang mencukupi untuk membiayai keperluan di waktu kecemasan atau belanja bermusim (seperti yuran sekolah, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya).

Sekiranya terdapat lebihan setelah menolak perbelanjaan anda maka semakin hampirlah anda ke matlamat anda. Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula pola perbelanjaan anda dan mengurangkan mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu.

Jangan menyifatkan rancangan perbelanjaan anda sebagai batasan yang mengikis keseronokan dalam hidup anda. Belanjawan yang mencapai matlamatnya sebenarnya dapat membebaskan dana dan membantu anda mencapai peningkatan matlamat kebebasan kewangan buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

Simpanan Hari Emas Anda

“Pencen besok dapat duit KWSP lebih kurang lima puluh ribu bolehlah abah beli rumah teres. Selesa sikit keluarga kita”, suatu hari 12 tahun dulu Pak Mat memberitahu anaknya. Munif anaknya yang baru berumur 11 tahun pada masa itu terasa girang sekali. Dapat duduk rumah teres. Tiada lagi rumah kecil satu bilik, tandas di luar rumah.

Sekarang duit Pak Mat dah dapat, bukan lima puluh ribu, tetapi lima puluh tujuh ribu. Lebih tu. Tapi hasrat Pak Mat dan Munif berumah teres yang selesa tidak kesampaian. Rumah kos rendah saja yang dapat. Itupun tak sempat nak buat renovation di bahagian dapur dan garaj untuk Datsun bahulunya (Datsun 120Y). Apatah lagi hajat Pak Mat nak pergi haji suami isteri terpaksa ditangguhkan dahulu. Munif di tahun akhir universiti, pakailah dulu pinjaman berbunga PTPTN tu setakat yang ada.

Pak Mat tak pernah berharap duit simpanan KWSPnya bertambah dan beranak-anak. Hasrat Pak Mat bukan untuk melabur. Kalau Pak Mat nak melabur, KWSP bukan tempatnya. Hasrat Pak Mat hanyalah untuk wangnya selamat dan terkumpul sehingga masa boleh dipetik.

Tetapi Pak Mat tak pernah diberitahu tentang susut nilai. Pak Mat tak pernah maklum bahawa lima puluh ribu sekarang nilainya tak sama dengan lima puluh ribu 12 tahun dahulu. Mungkin Munif yang belajar jurusan ekonomi di Universiti Malaya saja yang faham. Dia sudah mula ambil tahu sekarang.

“Abah, kalau wang kita disimpan dalam bentuk emas, tak jadi macam ni. Takde lah susut nilai sampai macam ni. Apalagi dengan harga minyak naik melambung ni, simen mahal, besi mahal tiada harga siling, beras naik, tepung naik…… tapi Alhamdulillah Abah…”, kata Munif pada Pak Mat semasa ayahnya sedang melayan blues dengan rokok daunnya.

“Alhamdulillah apa?” Tanya Pak Mat sambil melepaskan asap rokok bergelung-gelung dari mulutnya.

“Kira OKlah kita Abah. Di Zimbabwe 100 bilion duitnya tak dapat nak beli sebuku roti benggali!” terang Munif supaya ayahnya berfikiran positif.

“Tapi sekurang-kurangnya depa kat Zimbabwe tu merasa juga jadi billionaire!” Selamba Pak Mat menjawab.

Kah! Kah! Kah! Mereka dua beranak ketawa kuat-kuat. Bukan apa, sekadar mengubat hati yang terluka dan terganggu oleh keadaan semasa.

KWSP sebagai badan yang professional perlu lebih proaktif dalam “menyimpan” wang hari tua rakyat. Bukan sekadar menyimpan “amaun”, tetapi juga menyimpan “nilai” wang tersebut.

Bagaimana cara melaksanakannya?

Bagi saya yang terbaiknya KWSP sendiri yang handle penyimpanan emas ini. Wujudkan akaun keempat untuk simpanan emas. Terpulang kepada pencarum sebanyak mana wang ingin disimpan dalam bentuk emas. Time sesak, pencarum boleh gadaikan kepada KWSP, bila caruman meningkat, tebus balik. Sebab bagi saya walaupun duit diperlukan untuk masa hadapan, tetapi kita lebih memerlukannya sekarang! Buat apa nak membank rakyat di situ sini sedangkan kita ada tabungan yang sebenar-benarnya.

Jika KWSP masih belum bersedia untuk memperkenalkan simpanan seperti saranan di atas iaitu dalam bentuk dinar emas dan sebagainya, maka eloklah KWSP memperkenalkan produk terbaru ala-ala saranan Tuan Sebol iaitu Skim Pengeluaran Untuk Membeli Emas. Di sini pencarum sendiri yang membeli emas dan menyimpannya di tempat-tempat yang diakui oleh KWSP.

Kebaikannya, nilai duit kita terjamin, zakat emas pun boleh bayar. Siapa kat sini pernah bayar zakat emas? Jadi kesimpulannya kita tak perlu jadi kaya-raya untuk keluarkan zakat emas.

Wallahua’lam

Bank Islam Dan Pembebasan Sistem Riba

Kita juga perlu berhati-hati kerana tidak mahu sistem harapan dijadikan kuda trojan sistem riba.

Untuk kebaikan bersama, sistem bank Islam mungkin perlu memerhatikan isu-isu berikut:

* Jaminan kuantiti dan kualiti mata wang

* Piawaian atau 'ISO' mata wang

* Perbahasan mengenai faedah yang tidak berfaedah

Salah satu tujuan utama sesebuah bank ditubuhkan ialah untuk menyimpan harta dan wang ringgit supaya selamat. Keselamatan ini mestilah dari segi jaminan kuantiti dan kualiti barangan yang disimpan.

Di samping itu fungsi bank adalah untuk memberi kemudahan kredit kepada para pelanggan dalam melicinkan urusan. Sama ada untuk perniagaan dan perdagangan ataupun sumber pinjaman am.

Zaman dahulu orang ramai menyimpan barangan kemas, wang emas dan perak pada tukang-tukang emas kerana mereka mempunyai peti besi untuk tujuan menyimpan dengan selamat.

Tukang emas akan mengeluarkan resit untuk mudah memulangkan simpanan tersebut. Amnya itulah cara tukang emas menjadi pelopor sistem bank moden. Ada yang mengatakan resit-resit itu akhirnya menjadi sistem buku cek dan juga menjadi asas sistem wang kertas yang mewakili simpanan. Paling penting diingat ialah tukang emas itu mestilah menjamin kuantiti dan kualiti harta atau wang yang disimpan.

Tukang emas dapat menjamin nilai simpanan kerana berat emas dan perak tidak akan berubah kecualilah dikikis oleh tukang emas tersebut. Tukang emas boleh menipu dengan mengadakan resit berlebihan daripada deposit emas. Bank moden juga boleh mencetak kertas berlebihan daripada simpanan emas kemudian meminjamkan kepada orang lain sambil mengenakan faedah.

Ini dikatakan penciptaan kredit (wang). Inilah juga asas sistem riba bank moden yakni keupayaan mencipta wang tanpa sandaran - Something from nothing.

Penciptaan wang tanpa sandaran boleh dikaitkan dengan Presiden Nixon yang memutuskan ikatan emas dengan dolar pada tahun 1971 kerana dolar Amerika dicetak berlebihan daripada simpanan emas.

Tindakan tersebut membebaskan pihak bank Amerika mencetak wang sebanyak mungkin tanpa memerlukan deposit emas lagi. Kini dolar sah menjadi paksi 'sistem wang palsu yang dihalalkan'.

Perhatikan kenyataan oleh Government Securities, U.S. Bureau of Engraving yang dipetik dari buku Economic Solutions oleh Peter Kershaw (1994). ''Biro (mata wang Amerika) mencetak anggaran 16 juta wang kertas setiap hari. Biro ini berkuasa mencipta wang sebanyak mana sekalipun. Yang membataskannya ialah kelajuan alat cetak dan kesediaan orang ramai untuk menerimanya.'' Dalam sistem perbankan sekarang, resit atau wang kertas sudah diberi realiti dan bukan lagi dianggap sebagai lambang wang. Akhirnya lambang wang (wang kertas dan wang elektronik) dan emas terperangkap dalam persoalan 'apa dahulu antara ayam dengan telur'.

Adakah wang kertas yang mentakrifkan emas atau emas yang mentakrifkan wang kertas? Sistem perbankan berjaya mengelirukan kita tentang takrifan wang untuk membolehkan sistem tersebut mencetak lambang wang dengan berlebihan sebagaimana tukang emas yang menulis resit lebih banyak daripada simpanan dalam peti besinya.

Keadaan ini menjadikan 'wang tidak ada ISO'. Wang tanpa piawaian hakiki. Kualiti wang menjadi tidak terjamin sebagaimana yang kita lihat dalam fenomena kejatuhan nilai wang sesetengah negara sehingga beratus-ratus peratus pada tahun 1997.

Perkara asas yang perlu diketengahkan ialah bank lazim mahupun bank Islam tidak lagi dapat menjamin kualiti wang. Pihak bank mungkin boleh menjaga kuantiti wang kerana institusi tersebut dapat mencetak wang tanpa sandaran. Tetapi pihak bank tidak dapat menjamin kualiti wang. Ini bermakna sistem bank atas nama apa pun sebenarnya sudah gagal berfungsi seolah-olah peti besi tukang emas (bank) sudah dicerobohi.

Penceroboh itu mungkin orang luar seperti spekulator mata wang tetapi pihak bank juga boleh 'mengikis' nilai wang kerana pihak tersebut boleh mencetak lambang wang dengan berlebihan. Akhirnya nilai wang tidak dapat dikawal oleh kerajaan tetapi dikawal selia oleh hegemoni perbankan, pencetak wang dan yuppies.

Tanpa 'ISO mata wang', perbahasan mengenai faedah pun menjadi tidak berfaedah. Persoalan utama bukannya tentang bunga ataupun faedah. 'Persoalan pokok ialah tentang pokok itu sendiri'.

Ini bermaksud persoalan utama ialah tentang simpanan asal. Wang simpanan kita dikatakan beruntung, 'berbunga' atau diberi faedah, lazimnya sekitar 10% tetapi apa gunanya jika nilai wang boleh disusut nilai sehingga 600% seperti yang berlaku di Indonesia (tukaran 2500 rupiah sedolar menjadi 16,000 rupiah sedolar selepas campur tangan IMF).

Ini bermakna setiap simpanan asal sebanyak 2500 rupiah yang sebelum era IMF bersamaan 1 dolar tetapi kini bernilai 15 sen Amerika dalam sekelip mata sahaja. Bukannya bunga yang didapati malahan 'pokok asal yang ditebang'. Untuk sistem bank yang bebas daripada riba, Bank Islam perlukan piawaian mata wang menurut Islam.

Kita tidak mahukan sistem yang boleh dijadikan kuda trojan sistem Barat kerana mereka masih boleh merompak nilai wang simpanan kita. Piawaian dolar akan memerangkapkan kita dengan perbahasan tentang faedah yang sia-sia. Tanpa piawaian mata wang menurut Islam, bank Islam tidak mungkin dapat menjamin kualiti mata wang atau tidak berupaya melakukan safekeeping. Inilah cabaran untuk sistem bank Islam yang perlu ditangani jika kita benar-benar mahu mengawal nilai ringgit daripada terus menjadi mangsa penyangak kewangan antarabangsa dan para spekulator.

DR. HAKIMI IBRAHIM, Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


Sumber : Utusan Malaysia