Sponser

Penggunaan Dinar Emas Jadikan Institusi Kewangan Berdaya Tahan

WANG dan sistem kewangan banyak berkaitan dengan penghasilan kekayaan. Malah, ramai beranggapan wang itu sendiri adalah kekayaan. Dalam hal ini, institusi kewangan memainkan peranan penting.

Institusi kewangan berperanan memobilisi simpanan sedia ada serta menyalurkan kepada pelabur supaya dapat digandakan untuk kekayaan dan penghasilan modal. Peranan dimainkan institusi kewangan ini tidak boleh dipandang remeh.

Setiap kali bercerita mengenai institusi kewangan, pasti yang terlintas di fikiran kita ialah bank. Hakikatnya bukan bank saja institusi kewangan dalam Islam kerana ada institusi kewangan lain seperti pertubuhan zakat, wakaf dan baitulmal. Institusi ini perlu diperkembangkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang gawat ketika ini.
Membicarakan peranan institusi kewangan dalam pembentukan pemilikan kekayaan masyarakat, kita tidak boleh mengetepikan kejatuhan mata wang yang melanda dunia kini. Setiap cadangan perlu mengambil kira dinamik dan kesan daripada krisis kewangan global.

Amat jelas kini sektor bank yang bertanggungjawab dalam kejatuhan sistem kewangan melanda dunia. Ia kegagalan sistem bank pusat dan kejatuhan sistem kapitalis.

Perbankan sewajarnya dipertanggungjawabkan memandangkan bank banyak 'mencipta wang' begitu saja tanpa disandarkan kepada apa-apa, pada kadar yang jauh lebih tinggi ditambah penambahan kadar daripada kemampuan sebenar perkembangan ekonomi negara. Penciptaan wang ini dihasilkan melalui simpanan bank, di mana bank-bank Islam juga terbabit.
Bank Islam pada masa ini kelihatan stabil dan mampu mengatasi krisis memandangkan mereka tidak melabur dalam instrumen hutang yang mengakibatkan kejatuhan mata wang. Tetapi, semua bank saling berkaitan antara satu sama lain melalui rangkaian transaksi perakaunan.

Oleh itu, kejatuhan bank konvensional yang disebabkan oleh kerapuhan kredit akan turut menjejaskan perbankan Islam.

Perbankan dan kewangan Islam hari ini masih mempunyai banyak kekurangan contohnya, ia tidak berasaskan kepada ekonomi sebenar, sama seperti sistem konvensional.

Walaupun semua instrumen terus berkait dengan aset sebenar, malangnya, wang ini tidak disandarkan dengan aset.
Hari ini, sebagai rakan kongsi bank konvensional, bank Islam turut beroperasi dalam ruang lingkup sistem perbankan rizab sebahagian yang menggunakan wang fiat yang tidak disandarkan dengan komoditi sebenar seperti emas atau perak.

Ini berbeza dengan setiap transaksi berdasarkan prinsip syariah seperti perkahwinan, zakat dan sebagainya bersandarkan emas serta perak sebagai tukaran mata wang dan tidak boleh ditukar.

Hal ini mengakibatkan bank mengamalkan sistem perbankan Islam kurang berdaya tahan dalam menangani kemelesetan kewangan global.

Oleh demikian, jika perbankan dan kewangan Islam ingin memainkan peranan bermakna ke arah peningkatan ummah, maka inilah masanya ia harus kembali kepada bentuk asal iaitu wang disandarkan kepada sektor komoditi utama.

Kini adalah masa yang sesuai untuk memperkenalkan dinar emas sebagai mata wang. Penggunaan dinar emas mengelakkan penghasilan wang yang akan mewujudkan gelembung. Tanpa usaha dan langkah itu, adalah mustahil memerangi masalah kemelesetan ekonomi global yang mendatang.

0 comments:

Catat Ulasan