SELANGKAH DEMI SELANGKAH KE ARAH AMALAN PERANCANGAN KEWANGAN YANG BAIK
Perancangan kewangan adalah penting, walau banyak mana sekalipun pendapatan kita. Rahsianya ialah mengetahui di mana anda sekarang, hendak ke manakah anda pada masa hadapan dan bagaimana untuk sampai ke sana. Anda boleh menambah nilai wang anda jika anda dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskannya secara berhati-hati, seperti:
• Mengetahui apa hendak dibuat dengan wang anda
• Mengetahui ke mana perginya wang anda
• Mengenal pasti tabiat anda berbelanja
• Membentuk satu rancangan perbelanjaan yang cermat
• Berbelanja secara berhemat dan mengikut kemampuan anda
• Menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk masa depan anda
Pandangan semua ahli keluarga khususnya anak-anak, hendaklah diambil kira semasa membuat keputusan berhubung dengan perancangan kewangan anda. Ini akan menjadikan anda lebih akur dengan rancangan perbelanjaan anda dan juga membantuanak-anak membentuk kemahiran dalam hal perancangan kewangan pada peringkat umur yang masih muda lagi. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil dalam merancang kewangan anda:
Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda
Menentukan matlamat kewangan dapat membantu orang ramai baik yang muda mahupun yang dewasa untuk mempelajari nilai wang. Matlamat kewangan mencerminkan apa yang anda hendak lakukan dengan wang anda dalam satu jangka masa tertentu. Penentuan matlamat akan mendorong anda berbelanja dan menyimpan wang mengikut kaedah yang akan membolehkan matlamat anda tercapai.
Setiap keluarga menentukan matlamat dan merancang hal kewangan mereka berasaskan kepada penilaian masing-masing. Walau apa pun jua penilaian mereka sekeluarga, rancangan kewangan mereka adalah merupakan suatu ekspresi tentang apa yang paling penting bagi mereka. Umumnya matlamat-matlamat ini meliputi:
• Membeli rumah
• Membeli kereta
• Berkahwin
• Pelajaran anak-anak
• Percutian
• Persaraan
• Menunaikan haji
Perbelanjaan perubatan Penentuan beberapa siri matlamat peribadi akan membantu anda untuk mengurus wang anda dengan berhemat. Matlamat anda boleh berubah dari semasa ke semasa, namun ia mampu memberi dorongan dan insentif kepada anda agar terus membuat perancangan kewangan. Anda harus merancang untuk:
• Matlamat Jangka Pendek Perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang terdekat. Mungkin dalam tempoh seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak melebihi setahun seperti membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk percutian.
• Matlamat Jangka Sederhana Perkara yang boleh dibuat dalam tempoh satu hingga lima tahun seperti membeli sebuah kereta atau sebuah komputer.
• Matlamat Jangka Panjang
Perkara-perkara yang diharapkan boleh dicapai tetapi mengambil masa yang lebih lama lagi misalnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk pendidikan anak-anak di peringkat yang lebih tinggi.
Peruntukan wang simpanan ke arah matlamat-matlamat ini bergantung kepada beberapa faktor yang seterusnya akan menentukan pilihan pelaburan anda.
Oleh itu, adalah penting matlamat-matlamat ini disenaraikan mengikut keutamaan. Amaun yang diketepikan untuk memenuhi matlamat ini berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain dan faktor-faktor yang diambil kira adalah termasuk faktor usia, tahap pendapatan, perbelanjaan, jumlah tanggungan, status pekerjaan dan taraf perkahwinan.
Langkah 2 - Menjejaki Ke Mana Perginya Wang Anda
Setelah anda menentukan matlamat anda, anda mungkin berasa mustahil untuk mencapainya, lebih-lebih lagi jika anda mendapati tiada lagi yang tinggal apabila tiba cukup bulan. Sekiranya anda membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik, matlamat anda akan menjadi mudah tercapai berbanding apa yang anda jangkakan. Walau bagaimanapun, sebelum anda membentuk rancangan perbelanjaan, anda perlu menjejaki dahulu ke manakah perginya wang anda. Ini boleh dilakukan dengan merekod setiap perbelanjaan yang dibuat bagi sesuatu tempoh contohnya lapan minggu. Ini bukan bertujuan menyekat perbelanjaan anda tetapi mengenal pasti hala tuju perbelanjaan anda.
Dengan ini, anda akan mengetahui:
• Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda
• Berapa banyakkah anda berhutang setiap bulan
• Berapa banyakkah yang masih tinggal pada akhir bulan
Langkah 3 - Menilai Cara Anda Berbelanja
Jika anda mendapati bahawa anda tidak mempunyai apa-apa baki pada akhir bulan, barangkali anda perlu menilai cara anda berbelanja. Anda perlu meneliti senarai perbelanjaan anda untuk memastikan sama ada kesemuanya adalah benar-benar perlu atau merupakan perbelanjaan yang anda boleh kurangkan atau tiadakan. Berikut adalah tip-tip bagaimana anda boleh menjadikan perbelanjaan anda lebih menjimatkan:
• Semak senarai barangan isi rumah yang anda beli untuk meneliti sama ada jenamanya boleh ditukar ke jenama yang lebih murah (seperti kertas tisu tandas, serbuk pencuci, cairan pembersih dan sebagainya)
• Semak senarai keperluan barang-barang dapur anda untuk mengenal pasti barangan yang "elok ada" tetapi sebenarnya tidak diperlukan
Anda juga sepatutnya mengenal pasti isyarat amaran mengenai tabiat anda berbelanja yang tidak sihat yang boleh membawa kepada masalah kewangan:
• Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa
• Melengahkan pembayaran bil-bil yang selalunya dibayar sebelum tarikh tamat
• Membuat pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman lama
• Menangguhkan pembayaran balik pinjaman anda
• Memilih untuk membayar secara ansuran apabila membeli barangan harian untuk isi rumah
• Pembayaran melebihi pendapatan pada akhir bulan
• Membeli mengikut gerak hati walaupun anda tahu bahawa anda tidak mampu membelinya Bagi membantu menyemai sifat-sifat berdisiplin di dalam cara anda berbelanja, anda perlu merangka rancangan perbelanjaan anda dan akur kepadanya.
Langkah 4 - Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda
Dengan mencatatkan aliran wang masuk dan wang keluar, anda dapat menghalakan tumpuan ke bahagian di mana perbelanjaan sudah menjadi tidak terkawal dan juga bagi memberi ruang kepada anda untuk menyimpan pula. Sekiranya pendapatan anda melebihi perbelanjaan, anda akan dapat mengetepikan wang untuk rancangan simpanan demi mencapai matlamat kewangan anda.
Di bawah ini adalah panduan bagaimana untuk merangka satu rancangan perbelanjaan bertulis:
1. Tentukan berapakah pendapatan bulanan anda.
2. Campurkan semua jumlah perbelanjaan termasuk bil bulanan tetap, bayaran balik pinjaman, sewaan, perbelanjaan keperluan harian dan sebagainya.
3. Ketepikan sejumlah wang yang tetap yang mencukupi untuk membiayai keperluan di waktu kecemasan atau belanja bermusim (seperti yuran sekolah, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya).
Sekiranya terdapat lebihan setelah menolak perbelanjaan anda maka semakin hampirlah anda ke matlamat anda. Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula pola perbelanjaan anda dan mengurangkan mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu.
Jangan menyifatkan rancangan perbelanjaan anda sebagai batasan yang mengikis keseronokan dalam hidup anda. Belanjawan yang mencapai matlamatnya sebenarnya dapat membebaskan dana dan membantu anda mencapai peningkatan matlamat kebebasan kewangan buat masa sekarang dan pada masa akan datang.
Fokus menyimpan dulu bro
Setahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan