Sponser

Simpanan Hari Emas Anda

“Pencen besok dapat duit KWSP lebih kurang lima puluh ribu bolehlah abah beli rumah teres. Selesa sikit keluarga kita”, suatu hari 12 tahun dulu Pak Mat memberitahu anaknya. Munif anaknya yang baru berumur 11 tahun pada masa itu terasa girang sekali. Dapat duduk rumah teres. Tiada lagi rumah kecil satu bilik, tandas di luar rumah.

Sekarang duit Pak Mat dah dapat, bukan lima puluh ribu, tetapi lima puluh tujuh ribu. Lebih tu. Tapi hasrat Pak Mat dan Munif berumah teres yang selesa tidak kesampaian. Rumah kos rendah saja yang dapat. Itupun tak sempat nak buat renovation di bahagian dapur dan garaj untuk Datsun bahulunya (Datsun 120Y). Apatah lagi hajat Pak Mat nak pergi haji suami isteri terpaksa ditangguhkan dahulu. Munif di tahun akhir universiti, pakailah dulu pinjaman berbunga PTPTN tu setakat yang ada.

Pak Mat tak pernah berharap duit simpanan KWSPnya bertambah dan beranak-anak. Hasrat Pak Mat bukan untuk melabur. Kalau Pak Mat nak melabur, KWSP bukan tempatnya. Hasrat Pak Mat hanyalah untuk wangnya selamat dan terkumpul sehingga masa boleh dipetik.

Tetapi Pak Mat tak pernah diberitahu tentang susut nilai. Pak Mat tak pernah maklum bahawa lima puluh ribu sekarang nilainya tak sama dengan lima puluh ribu 12 tahun dahulu. Mungkin Munif yang belajar jurusan ekonomi di Universiti Malaya saja yang faham. Dia sudah mula ambil tahu sekarang.

“Abah, kalau wang kita disimpan dalam bentuk emas, tak jadi macam ni. Takde lah susut nilai sampai macam ni. Apalagi dengan harga minyak naik melambung ni, simen mahal, besi mahal tiada harga siling, beras naik, tepung naik…… tapi Alhamdulillah Abah…”, kata Munif pada Pak Mat semasa ayahnya sedang melayan blues dengan rokok daunnya.

“Alhamdulillah apa?” Tanya Pak Mat sambil melepaskan asap rokok bergelung-gelung dari mulutnya.

“Kira OKlah kita Abah. Di Zimbabwe 100 bilion duitnya tak dapat nak beli sebuku roti benggali!” terang Munif supaya ayahnya berfikiran positif.

“Tapi sekurang-kurangnya depa kat Zimbabwe tu merasa juga jadi billionaire!” Selamba Pak Mat menjawab.

Kah! Kah! Kah! Mereka dua beranak ketawa kuat-kuat. Bukan apa, sekadar mengubat hati yang terluka dan terganggu oleh keadaan semasa.

KWSP sebagai badan yang professional perlu lebih proaktif dalam “menyimpan” wang hari tua rakyat. Bukan sekadar menyimpan “amaun”, tetapi juga menyimpan “nilai” wang tersebut.

Bagaimana cara melaksanakannya?

Bagi saya yang terbaiknya KWSP sendiri yang handle penyimpanan emas ini. Wujudkan akaun keempat untuk simpanan emas. Terpulang kepada pencarum sebanyak mana wang ingin disimpan dalam bentuk emas. Time sesak, pencarum boleh gadaikan kepada KWSP, bila caruman meningkat, tebus balik. Sebab bagi saya walaupun duit diperlukan untuk masa hadapan, tetapi kita lebih memerlukannya sekarang! Buat apa nak membank rakyat di situ sini sedangkan kita ada tabungan yang sebenar-benarnya.

Jika KWSP masih belum bersedia untuk memperkenalkan simpanan seperti saranan di atas iaitu dalam bentuk dinar emas dan sebagainya, maka eloklah KWSP memperkenalkan produk terbaru ala-ala saranan Tuan Sebol iaitu Skim Pengeluaran Untuk Membeli Emas. Di sini pencarum sendiri yang membeli emas dan menyimpannya di tempat-tempat yang diakui oleh KWSP.

Kebaikannya, nilai duit kita terjamin, zakat emas pun boleh bayar. Siapa kat sini pernah bayar zakat emas? Jadi kesimpulannya kita tak perlu jadi kaya-raya untuk keluarkan zakat emas.

Wallahua’lam

0 comments:

Catat Ulasan