SEBAHAGIAN simpanan emas milik Britain yang disimpan di sebuah bilik kebal di England baru-baru ini.
PEMANDANGAN berkilauan ribuan jongkong emas setiap satu seberat 12.7 kilogram yang tersusun kemas di dalam bilik kebal Bank of England memberi keyakinan kepada orang ramai ketika negara itu berhadapan kelemahan pasaran saham, harga rumah menjunam dan institusi perbankan muflis, lapor sebuah akhbar semalam.
Tumpuan kepada emas sebagai penanda aras keutuhan sesebuah ekonomi kembali menjadi aliran selepas dunia dikejutkan dengan krisis kewangan yang teruk.
Ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa kini menyebabkan simpanan saham dan pinjaman tidak lagi dianggap sebagai satu bentuk pelaburan yang teguh seperti sebelumnya. Ketika ekonomi dunia masih mantap kurang sedekad lalu, logam berprestij itu diniagakan pada kadar hanya AS$275 (RM975) bagi setiap 28.3 gram atau satu auns.
Namun, hari ini harga bagi satu auns emas melonjak kepada AS$787.80 (RM2,794) sekali gus menjadikan setiap jongkong emas itu bernilai kira-kira AS$328,316 (RM1.16 juta) atau bersamaan harga sebuah kereta sports Ferrari baru.
Gambar yang dirakam oleh akhbar Daily Mail menunjukkan susunan 15,000 jongkong emas tulen dengan nilai anggaran hampir AS$5 bilion (RM17.4 bilion).Bank pusat Britain itu dikatakan menyimpan banyak lagi jongkong emas di lokasi yang tidak didedahkan.
Sebenarnya, lapor Daily Mail, gambar tersebut mewakili separuh daripada jongkong emas yang disimpan di beberapa bilik kebal gergasi di ibu pejabat bank itu di London.Jika dijumlahkan, berat semua jongkong emas yang disimpan di beberapa bilik kebal luas di bawah jalan-jalan raya di pusat bandar raya London itu menyamai 4,600 tan dengan nilai anggaran mencecah hingga AS$119.6 bilion (RM424 bilion).
Bagaimanapun, hakikatnya, lapor akhbar tersebut, bukan semua jongkong emas tersebut milik kerajaan Britain.Bebarapa dekad telah berlalu sejak mata wang Britain ditambat kepada nilai emas atau Gold Standard yang berakhir pada tahun 1931 tetapi London masih menyimpan sejumlah emas tersebut untuk digunakan pada waktu kecemasan.Apa yang menyedihkan ialah kerajaan negara itu gagal menguruskan simpanan emas mereka dengan bijak.
Contohnya, pada Mei 1999, Gordon Brown yang merupakan menteri kewangan dan ekonomi negara atau dipanggil Chancellor of the Exchequer memutuskan untuk menjual 415 tan emas atau 60 peratus keseluruhan simpanan emas Britain.Penjualan tersebut merugikan berikutan ia dilakukan ketika harga emas menjunam pada tahap terendah dalam sejarah.
Sebenarnya, sebahagian besar jongkong emas tersebut disimpan oleh Bank of England bagi pihak pendeposit-pendeposit asing terutama sekali bank-bank pusat negara asing yang tidak memiliki bilik kebal selamat seperti di Britain.
Kualiti emas tersebut sama tetapi jongkong-jongkong itu memiliki bentuk yang sedikit berbeza dan ditandakan bagi menunjukkan ia datang dari sumber berlainan.Tahap keselamatan di pusat simpanan emas kedua terbesar itu amat ketat seperti di bank Rizab Persekutuan Amerika Syarikat di New York yang merupakan pusat simpanan emas terbesar dunia.
Setiap bilik kebal itu bersaiz amat besar dan memiliki ruang lebih luas berbanding ruang setiap tingkat yang terdapat pada bangunan tertinggi di Britain, Tower 42. Beberapa bentuk kunci yang panjangnya hampir satu meter diperlukan untuk membuka pintu bilik kebal tersebut.
Maklumat terperinci mengenainya dirahsiakan tetapi dinding bilik kebal itu dibina kalis bom selepas ia digunakan sebagai tempat perlindungan dari serangan udara oleh kakitangan bank tersebut ketika Perang Dunia Kedua meletus. Ketika dunia hilang keyakinan terhadap kebanyakan pelaburan lain, emas memberikan keyakinan kepada orang ramai sejak zaman berzaman.
Tidak dinafikan bahawa nilai hakiki emas juga bersifat simbolik tetapi yang mana menjadi pilihan anda sekarang, bergulung-gulung sijil saham atau beberapa jongkong emas Bank of England?
Sumber : Kosmo
0 comments:
Catat Ulasan